Ain terpinga-pinga bak rusa masuk kampung. Matanya
terkebil-kebil memandang senarai nama minuman yang ditulis menggunakan kapur
tulis berwarna pada papan hitam. Pening Ain memikirkan mana satu yang patut
dipilih. Ain pun bukan mahir sangat tentang minuman berkafein yang satu itu,
KOPI!
“Errr… Esspresso Macchiato satu!” Ain hentam
saja. Asal sedap mulut sebut. Entah apa rasa dan rupa Esspresso Machiato tu,
lantaklah!
Selepas membuat pesanan, Ain mengatur
langkah menuju ke satu sudut dalam Kafe Homemade Sweet. Di satu bahagian ada
satu meja kecil dua kerusi. Sebab Ain datang bersendirian, Ain rasa okeylah tu.
Bolehlah dia duduk situ.
Ain mengeluarkan buku lakaran sebaik
sahaja melabuhkan punggung. Sketch!
Hua… Semua ni Izni punya fasal. Sibuk nak buka kafe. Lepas tu merayu-rayu minta
Ain buat reka bentuk hiasan dalaman kafe idaman Izni tu.
Ikut hati Ain, nak je buat bodoh pada
Izni. Tapi tak sampai hati. Izni tu sahabat dunia akhirat tu. Masalahnya Ain ni
arkitek, bukan pereka hiasan dalaman! Kalau nak buat kafe ‘gedebak’ sebiji tu
bolehlah kut. Ni nak buat hiasan kafe berkonsepkan ala-ala tradisional Itali!
Terpaksalah Ain menelaah. Haah, menelaah dari kafe ke kafe mencari idea dan
konsep.
Banyaklah kau punya dari kafe ke kafe
Ain… Realitinya, ini adalah kafe pertama yang dimasuki Ain. Kafe ni tak jauh
dari firma arkitek tempat Ain kerja. Tak pernah tahu pun Kafe Homemade Sweet ni
wujud. Tahu pun sebab si Aira dan Firdaus, pelukis pelan di pejabat tu yang
menghembuskan kata-kata semangat suruh Ain datang cari idea di kafe ni.
KRUUUKKKKK!!
Alamak, laparlah pula! Tapi kafe ni
banyak juga jual manisan yang comel-comel. Pavlova tu macam sedap aje.
Makanlah. Tapi kalau tinggal meja ni, tak ada orang ambil ke? Takkan aku nak
tinggal beg tangan kat sini? Jangan! Walaupun dalam beg tangan ni tak ada duit
berkepuk dan beg tangan ni pun takat berapa ringgit aje beli masa jualan murah,
tapi tu duit tu! Bukan bayar pakai daun! Okey, cop meja letak buku lakaran ni!
Ain nekad. Angkat punggung dari
kerusi. Adik yang kerja tukang buat kopi tu Nampak dah Ain duduk situ tadi.
Pandai-pandailah adik buat kopi tu nanti hantar. Kalau ada orang ambil tempat
duduk Ain tu, Ain buat selamba badak je nanti duduk atas lantai bersila! Eleh,
iyalah tu.
Ain dah siap pilih. Dasar pelahap!
Tiga biji creampuff. Satu tart buah.
Satu tart telur. Satu pavlova! Sepotong red velvet. Ah, rosak diet aku! Ain menatang dulang yang
berisi makanan ke arah meja tapi… ada satu makhluk tak diundang tengah
bersenang lenang duduk dekat kerusi tu! Ain yakin tu meja Ain duduk tadi, sebab
ada buku lakaran yang Ain bawa tu!
Ain menghempas sedikit dulang yang
berisi makanan sebagai tanda protes. Tapi mamat tak diundang tu buat muka
tebal. Langsung tak ada perasaan. Lebih buat hati Ain panas, mamat tu siap
tarik gelas berisi espresso macchiato
yang nak tergeliat lidah Ain sebut masa buat pesanan tadi. Tak guna!
Mamat ni memang tak ada perasaan,
rabun atau pekak? Ikut hati nak je Ain maki mamat ni. Dah lah duduk meja yang
Ain dah ‘tanda’ dengan buku lakaran tu. Boleh pula dia tarik gelas air Ain. Ain
tak peduli. Ain tarik balik gelas tu. Siap minum biar sampai separuh. Sebelum
mamat ni buat perangai perompak minum air Ain, baik Ain minum dulu.
Lelaki itu memandang Ain dengan
sedikit berkerut. Ain buat tak tahu. Diambil buku lakaran di tepi gelas. Ain
cari sebatang pen dalam beg yang bersepah. Jumpa. Dah hilang mood Ain nak makan
dessert yang comel-comel. Baik
kembali ke niat asal. Mencari idea! Ain terus membuat lakaran hiasan dalaman.
Ain memang suka melukis pun!
“Cik, saya patut letak kopi cik di
meja sana atau di sini?” seorang pelayan lelaki menyapa Ain.
PAP! Buku lakaran jatuh ke lantai.
Oh, tidak!!!
Ain terkebil-kebil pandang lelaki di
hadapannya yang turut sama sedang memandangnya. Dipandang pula segelas espresso macchiato yang milik Ain kononnya dah tinggal separuh. Direnung pula buku lakaran yang dah terjatuh ke lantai.
Dicapai lambat-lambat. Dibuka muka surat bahagian belakang Ain buat lakaran.
Ni bukan buku lakaran Ain!!! Ulang
suara, ni bukan buku lakaran Ain! Ni bukan tempat duduk Ain! Ni bukan kopi Ain!
“Meja sana!” pantas Ain bersuara dan
terus angkat punggung menatang dulang. Malu! Sesedap rasa hati Ain tuduh lelaki
tu pencuri. Ainlah pencuri sebenar! Siap memandang rendah pada lelaki yang dituduh
berwajah tebal. Padahal Ainlah yang muka tebal tu. Apa patut Ain buat? Minta
maaf? Malu? Ain terus tunduk. Buka buku lakaran Ain yang sebenarnya atas meja
lagi satu, bukan meja tadi. Tapi sama! Sketch!
Fokus Ain. Fokus!
Tapi fokus Ain terganggu sebaik
sahaja dengar bunyi detakan gelas atas meja yang Ain tengah duduk. Lelaki tadi…
“Maaf…” Ain buat muka kasihan.
Minta-minta mamat ni tak maki Ain. Dah separuh Ain teguk air kopi dia. Yang
pasti tu bukan espresso macchiato
yang Ain berusaha gigih nak sebut tu. Sebab espresso
macchiato Ain dalam cawan comel kecil ni je. Bukan gelas macam mamat tu
punya. Aduh…
“Tak apa. Semua orang buat silap…”
Lelaki itu senyum. Senyumnya nampak ikhlas.
“Nanti saya bayar ganti rugi. Kopi
awak. Termasuk buku lakaran awak,” bersungguh-sungguh Ain menutur kata. Rasa
bersalah yang teramat ni!
“Eh, tak apa! Tak perlu rasanya. Tak payah ganti rugi. Kopi je pun..."
Tawa kecil dari bibr lelaki itu buat hati Ain rasa lega.
"Awak lukis balik ke?
Cantik awak lukis. Awak sambung je lah siapkan lukisan tu di sini.” Lelaki itu
seraya menghulurkan buku lakarannya tadi.
“Tapi ni buku lakaran awak!” Ain
menolak.
“Okey, saya nak lukisan tu. Anggap tu
ganti rugi. Deal?” Lelaki itu tayang
senyum tak nampak gigi.
“Yelah!” Ain mengambil buku lakaran
yang dihulur dengan kasar. Bengang. Kononlah tadi kan cakap tak apa bila minta
ganti rugi. Iyalah tu! Lidah bercabang! Ain cuma berani memaki dalam hati.
Tawa kecil lelaki itu kedengaran lagi.
Ain buat tak reti. Malas layan.
Marah! Ain teruskan membuat lakaran.
“Nah, untuk awak!” lelaki itu
melekatkan sticky note pada buku
lakaran yang Ain tengah gigih melukis. Buku lakaran mamat yang dituduh pencuri
tu.
Ain senyum. Pandai lelaki ni buat
kelakar. Siap berpantun segala bagai. Si tudung merah cantik? Aku ke? Ain
memang pakai tudung merah. Hati Ain mula nak perasan.
“Nah, ni pula untuk awak!” Ain
menghulurkan buku lakaran lelaki itu.
“Terima kasih. Saya nak letak gambar
ni dalam frame…”
“Iyalah tu…” Ain rasa nak gelak
sampai tercampak anak tekak. Ain tak percaya. Lakaran serabai macam tu nak masuk frame? Lelaki ni putus fius dekat otak,
mungkin.
“Awak tak minum lagi kopi awak.”
Lelaki itu menolak secawan kopi milik Ain yang sebenar kepada Ain.
“Saya order yang lain ya untuk awak.
Maaflah. Saya dah minum separuh.” Ain kesal. Tapi dah terlajak nak buat macam
mana. Kalaulah masa tu boleh diundur…
“Eh, tak apa!”
“Erk!” Ain tayang muka cemberut. What the…
“Awak tak suka rasa kopi tu ya?”
Lelaki itu meneka.
“Macam ni ke rasa espresso macchiato?” Ain bersuara dengan
dahi berkerut seribu. Tak suka!
“Rasa espresso lebih kuat kalau nak dibandingkan dengan cappuccino, mocha dan latte. Alang-alang awak dah minum
separuh air saya ni, awak habiskanlah. Bak sini espresso awak.”
Ain sekadar memandang lelaki itu
menukarkan gelas miliknya dengan cawan kopi Ain. Minum bertukar begini dengan
lelaki asing? Oh, tidak! Tapi lelaki ni nampak baik-baik sahaja.
“Nama awak apa?” Lelaki itu memulakan
topik perbualan.
“Ain. Nama awak?” Ain rasa sedikit
selesa sebab lelaki ini kelihatan mudah ramah. Tapi tetap
berjaga-jaga. Manusia sekarang bukan boleh percaya.
“Awak rasa nama saya apa?” Lelaki itu
main tarik tali!
“Urgghhh…”
Ain melepaskan dengusan kasar. Tak guna punya mamat. Aku senang-senang beritahu
nama aku. Tak aci!
“Marahlah tu. Awak cepat naik angin
kan?” Lelaki itu gelak. Entah apa yang kelakar.
“Apa nama kopi awak ni?” Ain bertanya
selepas sedutan terakhir. Habis! Sedap. Kalau nak dibandingkan dengan espresso macchiato dalam cawan tu,
errrr! Ain lebih suka kopi lelaki tak dikenali ni.
“Latte
macchiato.”
“Macchiato
juga? Kenapa rasa kopi saya tak macam kopi awak? Kenapa gelas kopi awak besar
tapi kopi saya cawan tu aje?” Ain tak puas hati.
“Sebab awak espresso macchiato dan saya
latte macchiato. Itu bezanya.” Lelaki itu menjawab tenang.
“Apa beza espresso dan latte?”
“Beza nisbah kopi dan susu. Same goes to cappuccino and mocha.”
Ain berkerut. Pening. Apa-apa ajelah.
“You
wanna know my name?” Lelaki itu menjongket kening kepada Ain.
“Yes!”
“Call
me, Macchiato!”
“Hah?”
*****
Okey, ni pantun mamat Macchiato ni
kasi masa Ain tanya nama dia.
Okey, ni masa Ain tanya dia kerja apa
hari tu. Orangnya nampak kemas. Ain rasa dia kerja baik-baik sahaja. Tapi dia
mengaku dia penganggur. Herm…
Okey, ni pantun mamat tu tulis masa
Ain tanya dia ni dah kahwin ke belum. Risau juga. Takut sebenarnya Ain minum
kopi dengan suami orang. Silap hari bulan kena ada drama tarik rambut pula di
Kafe Homemade Sweet ni. Kan naya namanya? Tapi kenapa jawapan dia bunyi pelik
aje?
Oh, masa ni Ain rasa sedikit sedih.
Ain terlambat keluar pejabat sebab ada kerja yang kena dibereskan. Ain keluar
pejabat pukul 1.30 tengahari. Memanglah Ain perempuan. Ain tak perlu pergi
solat Jumaat. Tapi Ain sedih. Tak sempat minum kopi dengan Macchiato!
17 Februari, tiada!
18 Februari, pun tiada!
19 Februari, masih menyepi.
20 February, mana dia???
21 Februari. Jumaat. Ain nekad. Kalau
hari ni Encik Macchiato tak muncul, lepas ni Ain tak nak tunggu dia dah.
Mungkin Ain terlalu menaruh harapan tinggi. Mungkin Ain yang terlalu mudah
jatuh hati. Alahai, patah hati lagi? HEI, BARU SEMINGGU KENAL KUT!
“Cik…”
“Ya.” Ain memandang pelayan kedai
yang menghampirinya.
“Ni untuk cik…” Lelaki itu
menghulurkan satu sampul.
“Terima kasih!” Ain teruja. Macchiato
outstation ke? Ni dari dia ke? Tengok
tulisan ‘Untuk Ain’ pada sampul tu macam ya.
Untuk Ain,
Maaf, kali ni saya tak bagi sticky note. Saya bagi surat. Sebab kali ni
saya bukan nak tulis pantun je. Saya nak tulis panjang. Saya tak sempat beritahu
awak nama sebenar saya. Asyik main-main suruh awak panggil saya Macchiato.
Nama saya Azfar. Azfar bin Azhari. Saya beritahu ni sebab saya nak minta
doa awak. Doakan kesejahteraan saya. Doakan saya diringankan azab kubur.
Halalkan makan minum saya. Maafkan saya kalau ada apa-apa yang menggores hati
awak. Saya perlukan doa awak. Sebab masa awak baca ni saya dah bertemu Pencipta
saya.
Rancak bersembang baba dan nyonya,
Sambil menyampuk teruna dan dara,
Terima kasih untuk segalanya,
Perkenalan singkat tapi bermakna.
Doakan saya ya, Ain!
Salam akhir,
Azfar (Macchiato) (HKL, 20 Februari 2014) :’)
Air mata Ain gugur!
TAMAT
No comments:
Post a Comment